Pada 4 Jun 2025, SMK Cendekia Pintar telah menganjurkan Program “Sains dan Teknologi Pemacu Kemodenan” bertemakan Hebatnya Robot! di Dewan Intelek. Program ini menghimpunkan pelajar dari pelbagai aliran dalam aktiviti seperti pameran robot, pertandingan robotik dan bengkel pengaturcaraan asas bersama pakar universiti. Matlamat utama adalah memupuk minat dalam teknologi serta melatih pemikiran kritis. Seperti kata cogan, “Ilmu kunci kejayaan, teknologi jambatan masa depan”, program ini sangat relevan dengan keperluan zaman kini.
Persoalan penting ialah, mengapa teknologi robotik perlu dikuasai? Jawapannya, kerana robot berupaya membantu manusia melaksanakan tugas secara efisien dan selamat. Pelajar didedahkan kepada konsep kecerdasan buatan, sensor dan sistem data serta diberi peluang mengendali robot ciptaan sendiri. Ini bukan sahaja membina keyakinan diri, malah memenuhi tuntutan kemahiran abad ke-21 yang semakin penting.
Kesan program sangat memberangsangkan. Pelajar menunjukkan daya inovasi dan minat tinggi dalam bidang sains serta menyatakan hasrat meneruskan pengajian dalam teknologi. “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” membuktikan bahawa peluang mampu mencetuskan potensi luar biasa.
Saya mencadangkan penubuhan Kelab Robotik Pintar dan kerjasama dengan syarikat teknologi. Harapan saya, agar pelajar menjadi pencipta, bukan sekadar pengguna. “Teknologi yang hebat lahir daripada minda yang berfikir jauh ke hadapan.”
|